kita2.... ;-p

Tuesday, January 11, 2011

menghargai dan bersyukur

Hurmmm, semakin hari nampaknya bebelan saya di blog ini semakin menyusut. Bukan sudah malas menulis. Bukan juga sudah tidak suka berkongsi. Cuma, kadang kala terleka dengan kesibukan harian yang tidak pernah ada noktah. Sehinggakan tidak idea cantik yang boleh saya coret di sini untuk tatapan bersama. Tapi, hari ini, ada sesuatu berlegar di benak saya. Elok rasanya saya meluah di sini walau saya tahu, sejak blog ini diprivasikan, pembaca saya mula merosot. Tak apalah, asalkan ada seorang dua yang menyinggah, apa yang baik yang boleh didapati dari sini, mungkin boleh tolong kita semua jadi insan yg lebih sempurna.

Saya manusia.

Kamu juga manusia.

Kita manusia.

Sebaik mana pun kita, sealim mana pun kita,saya pasti, kita tidak boleh lari dari perasaan hasutan syaitan. Kadang kala, malah selalu, kita merasakan orang lain lebih beruntung dari kita. Kerana mungkin mereka punyai kewangan yang lebih baik. Ya. Itulah yang selalunya manusia2 ini dengkikan. Dia itu lebih berada. Anak orang besar. Boleh buat majlis perkahwinan indah bergaya seakan cerita dongeng. Sedangkan kita, lelah untuk mengira budget sendiri.

Kita merasa orang lain lebih bertuah dari kita kerana dapat hidup dalam kota besar. Ada banyak pilihan pusat beli belah. Punya sebab kukuh untuk bergaya sakan setiap hari. Maklumlah, orang kota. Sedangkan kita, terperap di ceruk kampung. Yang ada hanya kedai runcit bekalan makanan harian. Nak pakai kasut tumit tinggi dengan kaca mata hitam pun terasa pelik dipandang pakcik warung kecil tepi jalan.

Kita merasa orang lain lebih bertuah kerana suami atau kekasih hatinya pandai buat kejutan romantis. Ada saja idea yang boleh buat si gadis senyum simpul terawang-awang sepanjang hari. Sedangkan kita, usahkan bermimpi tentang kejutan romantis dari pasangan, bila diri sendiri yang buat kejutan pun, belum tentu si jejaka terkejut dan seronok dengan idea yang kononnya manis itu. Sampai terfikir, kenapa la dia ni hati kaku sangat. Alahai.

Itulah saya.

Itulah kamu.

Itu lah kita.

Itulah manusia.

Yang lupa menghargai dan bersyukur. Yang hatinya mudah dicolek syaitan. Sedangkan apabila kita menghargai dan bersyukur, akan lebih terasa kenikmatan kelebihan pinjaman Tuhan ini.

Kita mungkin bukan anak orang kaya raya. Tapi, hargailah dan bersyukurlah kerana kita lahir dari ayah ibu yang kaya didikan. Sehingga kita berjaya menjadi kita yang hari ini. Tidak merempat meminta sedekah. Tidak merana menjadi penagih. Malah, majlis perkahwinan kita di atas usaha sendiri itu cukup indah dalam simpanan memori. Bukankah kita juga beruntung?

Ya, kita tidak tinggal di kota metropolitan. Pakaian seharian kita seadanya sahaja. Tapi sekurang-kurangnya, kita tidak perlu berhabisan wang ringgit untuk bergaya bukan. Lagipun, kenapa kita sibuk mahu tinggal di kota sedangkan orang kota susah payah ambil cuti untuk berlibur di tempat kita. Owh, mambaca blog senior universiti buat saya buka mata. Di blog Dr Yaya, pantai Dungun begitu indah! Sebuah resort yang saya pandang sepi dan temeh hanya kerana ia berada di kawasan saya, rupanya punya nilai keindahan yang asyik! Tidak percaya? Cuba lawat Tanjung Jara Resort ya!

Suami atau pasangan kita memang tidak pandai buat kejutan manis. Tetapi, bukan kah dia tetap mencintai kita setulus hatinya. Memberi sepenuh kebahagiaan. Memandang dengan kasih. Membelai jutaan sayang. Itu yang perlu kita hargai dan syukuri.

Jadi, bersihkan hati, lapkan jiwa dari noda hitam percikan syaitan. Sebab kita semua dalam jagaan Tuhan. Tuhan tahu apa yang terbaik untuk kita. Hargai dan syukuri lah!

2 comments:

  1. klu kite fikir kite ni hebat.. ade lagi yg hebat..
    klu ade rase kite ni xbertuah.. ade yg lebih lg x bertuah..
    susah betul nak bersyukur ...=(

    ReplyDelete
  2. kita mmg jarang bersyukur. itulah manusia. jika kita snetiasa hidup seadanya, sudah pasti kita lebih menghargai. tetapi itulah saya.manusia

    sedih bila bc entri ni :)
    terasa bagus untuk muhasabah diri

    thankx dear

    ReplyDelete

this is my personal blabble, but u r free to drop any words :-)